Alahai..Pagar rumah pun nak kebas

TINDAKAN seorang lelaki memikul pagar besi rumah dalam usahanya membawa lari barangan itu membawa padah apabila ditahan polis kerana disyaki mencuri pagar besi terbabit dari sebuah rumah di Bandar Putra, Kulai, Johor, hari ini.

Loading...

Dalam kejadian pada 7.15 pagi, suspek lelaki berusia 25 tahun itu dikesan anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di Jalan Merbau 5, Bandar Putra…

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Razak Md Said berkata, anggota polis yang melihat suspek memikul pintu pagar besi itu dalam keadaan mencurigakan kemudian menahannya untuk pemeriksaan.

Loading...

Bagaimanapun, katanya, suspek bertindak mencampak pagar besi berkenaan ke tepi jalan dan melarikan diri ke arah sebuah stesen minyak di kawasan terbabit.

“Anggota URB terus mengejar suspek dan berjaya mengesannya yang sedang bersembunyi di atas pokok mangga di belakang stesen minyak itu.

“Menyedari dirinya dikesan polis, suspek terjun dari pokok dan berlari menuju ke arah pusat beli-belah berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, usaha mengejar suspek berjaya apabila diberkas di kawasan semak belakang pusat beli-belah berkenaan sebelum dibawa ke IPD Kulai untuk siasatan lanjut.

Menurut Razak, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif amphetamine dan turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

“Barang rampasan iaitu pintu pagar besi itu dibawa ke IPD Kulai untuk tindakan lanjut dan suspek ditahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian, pemilik rumah di Jalan Merbau 5 itu tiada di rumah.

Sumber: Harian Metro

Loading...