Bayi kaku di pusat asuhan

Kuala Lumpur: “Alasan diberikan tidak masuk akal. Pekerja pusat jagaan itu mendakwa bayi kami tidak sedarkan diri mendadak ketika tidur,” luah Noor Shulaila Yaacob, 28, ibu kepada bayi perempuan yang meninggal dunia akibat tersedak susu di sebuah pusat jagaan di Hulu Kelang, di sini.

Loading...

Dalam kejadian jam 11.30 pagi Jumaat lalu, mangsa Nafisah Muhammad Izzuddin berusia tiga bulan disahkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) meninggal dunia akibat saluran pernafasan tersumbat dengan susu.

Lebih menyedihkan apabila bayi itu baru empat hari dihantar ke pusat jagaan itu.

Loading...

Noor Suhaila berkata, suaminya, Muhammad Izzuddin Mau Yussman, 28, menghantar anak kedua mereka pada jam 7.30 pagi hari kejadian.

Dia dimaklumkan pekerja pusat jagaan itu Nafisah tidak sedarkan diri.

“Ketika kejadian, saya berada di Stadium Merdeka atas urusan kerja dan meminta suami dan bapa mentua, Yussman Yusof, 62, segera ke pusat jagaan itu bagi melihat keadaan Nafisah.

“Saya dimaklumkan bapa mentua tubuh Nafisah bertukar kuning dan kaku. Mereka menghantarnya ke klinik swasta berhampiran untuk pemeriksaan,” katanya.

Nafisah dikejarkan ke HKL selepas doktor di klinik itu mendapati dia seakan-akan tidak bernyawa.

“Pemeriksaan lanjut di HKL mengesahkan dia meninggal dunia. Hasil bedah siasat awal mendapati Nafisah maut akibat saluran pernafasannya tersumbat dengan susu.

“Kami membuat laporan di pondok polis HKL sebelum kes itu dirujuk ke Balai Polis Hulu Klang, di sini, untuk siasatan lanjut,” katanya yang mengebumikan jenazah bayinya di Tanah Perkuburan AU4, di sini, Sabtu lalu.

Ketika disoal, dua pekerja pusat jagaan itu masing-masing berusia lingkungan 40-an dan 50-an memberi alasan tidak masuk akal.

“Saya dimaklumkan Nafisah dijaga seorang daripada pekerja wanita warga Indonesia.

“Ketika kejadian, wanita itu mendakwa anak sayatidur dan mencuci botol susunya sebelum menyedari Nafisah tidak sedarkan diri.

“Dia memaklumkan ada memberi susu kepada Nafisah pada jam 8 pagi sebelum memandikan dan menidurkannya,” katanya.

Noor Shuhaila memberitahu pemilik pusat jagaan itu tidak menghubunginya untuk menjelaskan perkara yang berlaku.

“Pusat jagaan itu menutup operasi sejak semalam (kelmarin),” katanya.

Sumber: Harian Metro

Loading...