Budak 10, 11 tahun disyaki merogol

LIMBANG : Polis menahan dua kanak-kanak lelaki kerana dipercayai merogol seorang budak perempuan di sebuah stor di ladang pertanian di Kampung Palas, Limbang, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, kedua-dua suspek berusia 10 tahun dan 11 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada ibu mangsa.

Beliau berkata, ibu mangsa berusia 32 tahun mendakwa anak perempuannya berusia sembilan tahun ditemui dalam keadaan mencurigakan bersama suspek jam 7.10 malam, semalam.

“Sebelum itu, ibu mangsa melihat anaknya bermain di kawasan berhampiran stor baja bersama dua budak lelaki, yang juga anak pekerja ladang berkenaan.

“Namun, tidak lama selepas itu, mangsa tiada dikawasan berkenaan sebelum ibunya mencari dan menemui anaknya terbaring dalam keadaan telanjang di dalam sebuah stor sambil ditindih seorang budak lelaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dev berkata, ibu mangsa bergegas menarik keluar anaknya sebelum terlihat kesan darah pada alat sulit mangsa.

Katanya, ibu mangsa yang mengesyaki anaknya dirogol kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Limbang, hari ini.

“Susulan daripada laporan itu, sepasukan polis menahan dua suspek yang juga jiran mangsa di rumah di ladang berkenaan pada jam 5.30 petang hari ini.

“Suspek yang tidak bersekolah itu dibawa ke Balai Polis Limbang untuk siasatan lanjut dan dibebaskan selepas keterangan diambil,” katanya.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk pemeriksaan lanjut dan polis menunggu keputusan kesihatan untuk melengkapkan siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Sumber: BH ONLINE