Erdogan telefon Suu Kyi, kutuk penderaan Rohingya

ISTANBUL: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan hari ini mengutuk pelanggaran meningkat hak asasi menyasar minoriti Islam Rohingya menerusi panggilan telefon dengan pemimpin awam Myanmar, Aung San Suu Kyi.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata, 123,600 pelarian Rohingya masuk ke Bangladesh sejak 11 hari lalu susulan peningkatan pertempuran antara pemberontak dan tentera Myanmar di Rakhine, meningkatkan kebimbangan bencana kemanusiaan.

Keganasan terbaru, bermula Oktober lalu apabila kumpulan pemberontak kecil Rohingya menyerbu pos sempadan, terburuk pernah disaksikan Rakhine sejak bertahun lalu.

Erdogan minggu lalu menuduh Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas minoriti Rohingya.

Beliau meningkatkan diplomasi dan bercakap di telefon bersama pemimpin Islam ketika Aidiladha, mencari jalan menyelesaikan krisis kemanusiaan di Myanmar. Erdogan juga bercakap dengan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu akan mengunjungi Bangladesh esok, lapor agensi berita Anadolu.

Menerusi panggilan telefon dengan Suu Kyi, bekas tahanan politik junta Myanmar, Erdogan berkata, pelanggaran meningkat hak asasi manusia ke atas Muslim Rohingya ‘amat membimbangkan’ seluruh dunia, kata sumber pejabatnya.

TUNJUK PERASAAN MENGUTUK MYANMAR DI GROZNY CHECHNYA

Erdogan berkata, Turki mengutuk keganasan dan operasi ke atas orang awam tidak berdosa, menambah perkembangan di Myanmar bertukar kepada satu krisis kemanusiaan serius yang mencetuskan kebimbangan dan kebencian. -AFP