ISU MENGENAI PERLAWANAN KOREA UTARA MENENTANG MALAYSIA – TMJ


Saya ingin menjelaskan sedikit tentang isu berhubung perlawanan Pusingan Akhir Kelayakan ‘AFC Asian Cup UAE’ 2019 Peringkat Kumpulan B yang akan diadakan di Pyongyang, Korea Utara pada 8 Jun 2017 nanti.

Loading...

Sepertimana sedia maklum, Kerajaan Malaysia tidak menggalakkan pasukan Harimau Malaya untuk pergi ke negara Korea Utara disebabkan oleh isu diplomatik yang sedang berlaku sekarang ini.

Walaubagaimanapun, sehingga kini Kerajaan Malaysia tidak ada mengeluarkan sekatan perjalanan cuma nasihat mengenai perjalanan (Travel Advisory) dan itu tidak mencukupi untuk Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk menukarkan venue perlawanan asal ke venue neutral.

Loading...

Saya selaku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) amat mengambil berat berkenaan isu keselamatan pemain-pemain negara dan agak sukar bagi saya sebenarnya dalam situasi ini untuk melepaskan mereka ke sana.

Sekiranya FAM tidak melepaskan Harimau Malaya pergi ke perlawanan tersebut di Pyongyang, Korea Utara akan diberikan kemenangan percuma 3-0.

Tambahan lagi kita juga akan didenda sehingga USD50ribu dan akan disingkirkan daripada pertandingan piala kelayakan di Asia. Lebih membimbangkan adalah besar kemungkinan juga kita akan disingkirkan daripada mana-mana perlawanan AFC pada masa akan datang.

Persoalannya ialah apa yang harus kita lakukan? Saya sememangnya mahukan perlawanan ini diadakan di venue neutral demi keselamatan para pemain negara.

Selain itu, saya juga dimaklumkan oleh beberapa jurulatih yang pernah pergi ke negara tersebut bahawa situasi di negara tersebut agak teruk. Malah saya juga khuatir dengan masalah jaminan keselamatan serta layanan kemudahan penginapan dari segi tempat tinggal dan makanan di sana.

Ini disebabkan kerana salah satu maklumat yang saya terima mengatakan kami perlu membawa makanan sendiri oleh kerana isu sabotaj.

Seperkara lagi adalah berkenaan masalah mutu pengadilan disana kerana sekiranya terdapat keputusan yang tidak menyebelahi Korea Utara pastinya keselamatan pengadil akan terjejas sekaligus membuatkan pengadil tersebut akan tertekan.

Apa-apa pun saya sebagai Presiden FAM tidak setuju sama sekali untuk kami pergi ke Korea Utara tetapi keputusan tersebut terletak pada kerajaan dan Menteri Sukan.

Bagi saya keutamaan adalah keselamatan rakyat Malaysia. Kami harus membuat keputusan untuk meletakkan keselamatan rakyat sebagai agenda pertama dan bukan membuat keputusan berdasarkan situasi politik.

Perkara ini terletak kepada apa kerajaan Malaysia dan penyokong bola sepak tanah air inginkan.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Sumber: Football Association Of Malaysia ( Official )

Loading...