Peragut mati, mangsa ragut masuk lokap

SERDANG: Seorang mangsa ragut terpaksa merengkuk dalam lokap, selepas melanggar mati suspek yang meragutnya dalam kejadian berhampiran lampu isyarat Pangsapuri Garden @One South, dekat Seri Kembangan, di sini, awal pagi tadi.

Loading...

Sebelum kejadian, mangsa, seorang pelajar sebuah universiti di Bangi warga Yaman sedang minum di sebuah restoran mamak di SP2, Serdang Perdana, kira-kira jam 3.30 pagi dan didatangi suspek menunggang sebuah motosikal yang kemudian meragut beg miliknya.

Loading...

Tindakan suspek itu menyebabkan mangsa mengejarnya dengan menaiki sebuah kereta sejauh kira-kira tiga kilometer (km) sebelum melanggar motosikal ditungganginya ketika tiba di lampu isyarat belakang Pangsapuri Garden @One South.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata akibat perlanggaran itu, suspek berusia 25 tahun maut di tempat kejadian akibat parah kepala.

“Hasil siasatan unit forensik di lokasi kejadian menemui beg mangsa bersama suspek.

“Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes dadah, menyebabkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Megat Mohamad Aminuddin berkata, mayat suspek dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Berikutan itu, katanya, lelaki Yaman berusia lingkungan 20-an itu turut ditahan dan perintah reman akan dipohon di mahkamah esok bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Sumber: BH ONLINE

Loading...