Saya tak mampu bayar 700 ribu – Watie Elite

Bekas anggota kumpulan Elite, Hana sekali lagi memfailkan saman terhadap rakan kumpulannya, Watie Sadali berhubung kegagalan pelakon itu membayar ganti rugi berjumlah RM707,351.83 yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Selayang, dua tahun lalu.

Hana atau nama sebenarnya, Norhanasafiza Mat Adnan, 39, yang menang kes samannya pada 10 Mac 2015 terhadap Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali, 41, memfailkan saman penghutang penghakiman itu pada 18 Mei lalu, selepas Watie masih gagal menjelaskan hutang berkenaan sehingga kini.

Dalam permohonan itu, Hana turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah waran tangkap sekiranya Watie selaku penghutang gagal hadir ke mahkamah bagi memberi penjelasan berkenaan kegagalannya membayar hutang berkenaan.

Sementara itu, Watie ditemani suaminya, Zulkifli Daud atau lebih dikenali sebagai Joey ketika ditemui pemberita berkata, dia tidak membayar jumlah yang dituntut Hana disebabkan tidak berkemampuan.

“Saya tak mampu membayar jumlah tuntutan RM707,351.83 kerana tidak ada pendapatan tetap dan bukannya orang kaya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding yang dijalankan di dalam kamar Hakim Rasyihah Ghazali.

Bagaimanapun, Hana tidak hadir ke prosiding itu dan diwakili peguam Tengku Nadiatul Hanim Tengku Mohamad Nasser.

Mahkamah turut menetapkan 11 Oktober depan untuk perbicaraan kes itu.

Sebelum ini, Hana memenangi saman terhadap Watie berhubung kegagalan penyanyi itu menyelesaikan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya bagi membeli sebuah kenderaan jenis Toyota Wish.

Menurut penyata tuntutan itu, Hana mendakwa membuat pinjaman bank kenderaan itu sekitar September 2005 bagi pihak Watie sebanyak RM150,000 kerana pelakon terbabit tidak layak membuat pinjaman.

Namun, pelakon terbabit gagal mematuhi syarat ditetapkan seperti membayar ansuran bulanan, cukai jalan, insurans dan perkara berkaitan sejak September 2010.

Akibat kejadian itu, Hana diisytiharkan muflis pada 1 April 2013 dan perkara itu tersebar di blog sehingga mendatangkan malu kepadanya.

Selain itu, dia juga mengalami tekanan dan kejadian itu memberikan kesan negatif kepada kariernya.

Sumber: Harian Metro