Syikin, tolong mak… tolong mak

“Syikin, tolong mak… tolong mak.” Itu jeritan terakhir mangsa, Noriah Kasa, 40, ketika menghubungi anak sulungnya, Norasyikin Zuryanidufizan, 22, ketika dia tersepit dalam kemalangan dua bas kilang di Kilometer 147 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Tol Juru, hari ini .

Loading...

Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga Norasyikin sehingga sekarang selepas ibunya disahkan meninggal dunia sejurus selepas itu.

Norasyikin berkata, dia ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerja menaiki van kilang sebelum menerima panggilan ibunya.

Loading...

“Ibu pergi kerja terlebih dahulu menaiki bas manakala saya menaiki van dan berada jauh dari basnya.

“Arwah menelefon saya dan meminta tolong beberapa kali sebelum panggilannya terputus,” katanya.

Menurutnya, dia tidak tenteram ketika berada di dalam van yang berhenti akibat terperangkap dalam kesesakan trafik.

“Saya kemudian menghubungi rakan saya (Mohd Sabri Azhar) memintanya menjemput saya di tepi lebuh raya.

“Ketika itu saya cuba menghubunginya namun tidakberjawab,” katanya.

Sementara itu Mohd Sabri berkata, dia kemudian menjemput Norasyikin dan membawanya ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) sebelum diberitahu bahawa ibunya meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dalam kejadian 5.30 pagi, hari ini, lapan wanita terdiri daripada tujuh warga Indonesia dan seorang wanita warga tempatan (Noriah Kasa) maut.

Sumber: Harian Metro

Loading...