Terima kasih jawab panggilan 3.30 pagi: Guan Eng

GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berterima kasih kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menjawab panggilannya jam 3.30 pagi tadi bagi meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan banjir yang semakin buruk.

Loading...

“Saya berjaya menghubungi Timbalan Perdana Menteri bagi mendapatkan bantuan.

“Terima kasih kerana jawab panggilan saya hampir jam 3.30 pagi.

Loading...

“Keadaan semakin genting. Air masih naik, angin masih kuat, air naik antara tiga hingga 3.6 meter melepasi bumbung di Pulau Pinang.

“Pusat pemindahan tiada bekalan elektrik. Pulau Pinang terpaksa minta bantuan ATM,” katanya dalam kenyataan, pagi tadi.

Beliau berkata, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berjanji akan menghantar anggota ATM bagi membantu menyelamatkan mangsa banjir di Pulau Pinang.

Guan Eng turut meminta semua pihak bersabar dengan keadaan semasa dan pihaknya akan memastikan bantuan sewajarnya disalurkan.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya mengutamakan keselamatan.

Hujan lebat sejak pagi semalam menyebabkan hampir semua kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir, namun keadaan dilaporkan masih terkawal.

 

 

 

 

Banjir di Pulau Pinang semakin hujan lebat berterusan lebih 17 jam memburukkan lagi keadaan banjir yang menjejaskan kebanyakan kawasan di negeri ini.

Hujan lebat sejak jam 12 tengah hari berserta angin kencang semalam, turut melumpuhkan sebahagian kawasan di Georgetown dan Seberang Perai, selain menyebabkan hakisan tanah, pokok tumbang serta kesesakan lalu lintas luar biasa.

Dalam kejadian ribut malam tadi, seorang warga Bangladesh dilaporkan maut manakala rakannya hilang selepas rumah didiami dihempap pokok di Kampung Perlis, Jalan Assumption, Butterworth di sini.

Di Georgetown, antara kawasan terjejas termasuk Kampung Masjid, Jalan P Ramlee, Sungai Pinang, Jalan Kebun Lama, Lebuh Carnovan, Jalan Anson dan Halaman Bukit Gambir.

Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Timur Laut, hujan lebat menyebabkan paras Sungai Pinang, Sungai Air Itam dan Sungai Dondang mencecah paras bahaya dengan masing-masing mencecah 2.83 meter, 6.58 meter dan 21.88 meter.

Antara kawasan terjejas di Seberang Perai ialah Taman Siakap, Permatang Rawa, Taman Senangin, Padang Lalang, Mak Mandin dan beberapa kawasan di Penanti.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, berkata lebih banyak pusat pemindahan dibuka sejak tengah malam tadi untuk menempatkan penduduk yang terjejas.

Beliau berkata, antara pusat pemindahan yang dibuka ketika ini termasuk Dewan Orang Ramai Mengkuang Titi, Pusat Banjir Lubok Meriam, Sekolah Agama Masjid Mengkuang Semarak, Dewan Orang Ramai Kampung Kota, Dewan Pengkalan Tambang,  Dewan Banjir Guar Perahu, Sekolah KAFA Kubang Semang, Sekolah Kebangsaan (SK) Penanti dan Surau Kampung Tok Subuh.

“Pusat pemindahan turut dibuka di SK Sungai Pinang dan SMK Teluk Kumbar 1. Kita anggarkan lebih 500 penduduk dipindahkan di semua pusat yang dibuka.

“Sehingga jam 3 pagi tadi, kerja menyelamat dan memindahkan mangsa giat dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Jurucakap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata, cuaca buruk sejak semalam menyebabkan 26 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) masing-masing untuk ketibaan dan pelepasan ditunda.

“Tiga pesawat terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan satu pesawat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi,” katanya.

Sumber; BH ONLINE

Loading...