Tiga hari lapah, potong mayat

Lelaki yang ditahan selepas polis menemui sembilan mayat dilapah dan dipenggal di pinggir Tokyo semalam, mengaku membunuh semua mangsanya itu dalam tempoh dua bulan lalu selepas berkenalan dengan mereka melalui laman Twitter

Loading...

Menurut laporan media Jepun, Takahiro Shiraishi, 27, mengaku ‘menyerang’ lapan mangsa wanita itu dengan bermotifkan seksual namun polis masih menyiasat kemungkinan ada motif lain.

Loading...

Semalam, polis menemui anggota tubuh lapan wanita dan seorang lelaki dalam kotak penyejuk serta kotak peralatan dalam rumahnya.

Keseluruhannya, polis menemui 240 cebisan, termasuk kepala dan anggota badan. Lelaki itu dikatakan melapah mayat mangsa dan daging serta organ dibuang ke dalam tong sampah.

Media Jepun Nikkan Sports menggunakan tajuk ‘Bilik pembunuhan’ manakala tajuk Sports Nippon, ‘Seminggu, satu pembunuhan’ bagi berita yang menggemparkan negara yang mempunyai kadar jenayah amat rendah.

Lelaki itu memberitahu polis, dia membunuh mangsa pertama, seorang wanita dikenalinya tidak lama selepas berpindah ke rumah berkenaan Ogos lalu, dan mengambil masa tiga hari untuk melapah dan memotong mayatnya.

Dia kemudian membunuh teman lelaki wanita itu yang datang mencari wanita terbabit.

Menurutnya, dia menyimpan anggota tubuh mangsa kerana bimbang tertangkap jika membuangnya.

Polis mengesan Takahiro ketika menyiasat kehilangan wanita 23 tahun yang menyiarkan status mahu membunuh diri di Twitter.

Abangnya berjaya memasuki akaun Twiiternya dan menemui perbualan meragukan lalu menyiarkan mengenai kehilangan adiknya di Twitter. Seorang pengguna wanita memberitahu dia mengenali orang yang mengendalikan perbualan itu dan diminta menghubungi orang berkenaan manakala si abang membuat laporan polis.

Menurut akhbar Yomiuri, wanita berkenaan berjaya meyakinkan Takahiro datang ke sebuah stesen kereta api dan polis mengekorinya pulang ke rumah selepas itu, membawa kepada penemuan beg milik wanita yang hilang.

“Ditanya di mana wanita berkenaan, Takahiro memberitahu ‘ada dalam kotak penyejuk’ sambil menunjuk ke arah kotak berkenaan,” lapor Yomiuri.

Takahiro memberitahu polis, empat mangsa adalah remaja, empat lagi berusia awal 20-an dan seorang lagi berusia lewat 20-an.

Dia berhubungan dengan mangsa melalui Twitter dan membunuh mereka pada hari berjumpa mereka

Menurut akhbar Mainichi Shimbun, lelaki itu berpindah di apartmen berkenaan di Zama, pinggir Tokyo, pada 22 Ogos lalu, dan ketika berbual dengan mangsa melalui Twitter, dia memberitahu akan membantu mereka membunuh diri.’

Kejam

Sumber: Harian Metro

Loading...