Tragedi buah mata kucing

Kanak-Kanak perempuan maut selepas tercekik biji buah mata kucing di rumahnya di Kuarters Klinik Cure & Care Kandis di Bachok, malam tadi.

Dalam kejadian 7 malam itu, Nor Aina Fariha Mohd Fadzil, 7, meninggal dunia dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Bachok.

Bapa mangsa, Mohd Fadzil Mohamad, 36, berkata, sebelum kejadian dia bersama isteri, Siti Rugayah Ismail, 38, dan tiga anaknya sedang makan buah itu yang dibelinya di tepi jalan.

Katanya, bagaimanapun ketika dia sedang bersiap untuk solat Maghrib, anak kedua daripada tiga beradik itu itu meminta untuk makan buah berkenaan.

“Saya beritahunya dia sudah makan banyak, namun dia tetap meminta untuk makan sebiji lagi sebelum saya memberinya makan.

“Tidak lama kemudian Aina datang dengan suara tersekat-sekat memberitahu dia tercekik biji buah berkenaan. Saya cuba pelbagai cara untuk keluarkan biji buah namun tak berjaya sebelum bergegas ke Klinik Kesihatan Bachok.

“Dalam perjalanan, saya melihat keadaan anak semakin lemah dan apabila tiba, doktor mengesahkan anak saya sudah meninggal dunia,” katanya di Tanah Perkuburan Islam Tok Jawa, Teratak Pulai, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, punca kematian disahkan doktor akibat tercekik.

Sumber: Harian Metro