[ VIDEO ] Kucing Putih Tunggu Di Kubur Tok Wan

“Masa imam baca talkin, tiba-tiba kucing putih muncul berjalan di keliling kubur. Ia kemudian duduk dan tidak mengiau pun seolah-olah tahu kami sedang bersedih.”

Loading...

Itu kata pekerja Pos Malaysia Langkawi, Zarul Hisham Md Zaid, 27, menceritakan kejadian kucing berbulu putih muncul ketika pengebumian datuknya, Ismail Mat, 90, hari ini.

Lebih mengharukan kucing itu tidak berganjak dari kubur arwah dan cuba mengorek tanah selepas bacaan talkin selesai hingga mengejutkan ahli keluarga, imam serta sahabat yang hadir di Tanah Perkuburan Masjid Kelebang, Mukim Kuah, Langkawi.

Loading...

Malah, Zarul Hisham turut merakam kejadian itu sebelum memuat naik video berdurasi seminit itu di Facebook di mana ia menerima pelbagai reaksi netizen.

Menurutnya, arwah datuknya yang memiliki 13 anak, meninggal dunia pada 10.14 malam semalam di rumahnya di Kampung Sanusi Junid, Kuah, akibat sakit tua selepas terlantar sakit sejak sebulan lalu.

“Arwah Tok Wan memang sayangkan kucing dan ada pelihara sembilan hingga 10 kucing di rumah.

“Di mana-mana jika jumpa kucing liar, arwah akan bagi makan. Kucing putih itu juga mungkin Tok Wan selalu bagi makan di masjid itu yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurut Zarul, jenazah datuknya dikebumikan selepas zuhur kerana menunggu semua anaknya termasuk yang bertugas di Putrajaya pulang.

“Masa saya bersama-sama ahli keluarga menggali kubur tidak ada apa-apa perkara pelik berlaku.

“Tapi bila imam baca talkin, tiba-tiba kucing putih itu muncul. Dia tidak mengiau pun dan waktu itu saya duduk di belakang imam.

“Selesai bacaan talkin kucing itu tiba-tiba mengorek tanah membuang akar kayu dan rumput membuatkan kami tergamam dan sebak.

“Ketika kami hendak beredar, kucing itu masih duduk di atas kubur, hingga emak saudara saya cuba mengangkatnya,” katanya sambil menambah kucing putih itu berada di kubur lebih sejam dan kini dibawa balik ke rumah datuknya untuk dipelihara.

Zarul Hisham berkata, tujuan dia memuat naik rakaman video itu hanya untuk berkongsi rasa bahawa haiwan juga bersifat penyayang.

“Saya tidak ada niat apa-apa, perkara ini terjadi spontan dan rakaman video itu bukan diedit.

“Saya juga terkesan dengan berita penyeksaan terhadap kucing dan menganggap ini bukti kekuasaan Allah SWT,” katanya yang turut memelihara 15 kucing.

Dalam pada itu Zarul Hisham turut terkilan apabila ada pihak memberi komen negatif terhadap catatan dan video dikongsikannya itu.

Sumber: Harian Metro

Loading...