[ Video ] Pelancong Amerika diragut depan hotel

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang suspek lelaki yang didapati meragut telefon bimbit seorang pelancong warga Amerika Syarikat, di hadapan sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Isnin lalu.

Dalam kejadian pada jam 4.52 pagi itu, mangsa bersama seorang rakannya dan seorang pengawal keselamatan sedang berdiri di hadapan lobi hotel berkenaan sambil menunggu perkhidmatan Uber yang dipesannya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sukri Kaman, berkata pada masa sama sebuah motosikal ditunggangi suspek melalui lobi hotel berkenaan sebelum mendekati mangsa yang sedang memegang telefon bimbit.

“Suspek memakai baju belang hitam dan putih, bertopi keledar warna merah memperlahankan motosikal semasa menghampiri mangsa sebelum meragut telefon bimbit mangsa dan terus memecut motosikalnya.

“Mangsa berusia 38 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak membuat laporan polis sebaliknya kejadian itu┬ádilaporkan oleh pengurus keselamatan hotel berkenaan pagi tadi,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Katanya, pihak polis juga sudah membuat semakan melalui Jabatan Imigresen dan mendapati mangsa memasuki negara ini sejak 3 September lalu.

Sukri berkata, pada masa ini usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan atas kesalahan merompak.

 

Sumber: BH ONLINE